Media Gallery 2018

Yushan Forum Updates

Tugas Pemimpin Bukan Dengar Apa Orang Lain Mahu Tapi… (Sinar Online)

October 12th, 2018

2018-10-12

TAIPEI -  TAIWAN. "Tugas pemimpin bukanlah untuk mendengar apa yang orang mahu dan kemudian memberikannya kepada mereka,” demikian ujar bekas Presiden Afrika Selatan Frederik Willem de Klerk.

“Sebaliknya, cabaran sebenar untuk seorang pemimpin adalah untuk meyakinkan orang apa yang terbaik untuk mereka. Proses untuk mencapai matlamat itu mungkin terdapat beberapa perkara yang terpaksa dikorbankan,” katanya. 

Berucap di Forum Yushan yang dihadiri Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen, Frederik bercakap tentang peranan pemimpin dalam membimbing perubahan dan inovasi.

Frederik menambah, seorang pemimpin yang baik perlu mempunyai visi jelas dan mesej ringkas untuk mencapai matlamat.

“Pemimpin juga bertanggungjawab mengenal pasti keperluan berubah sebelum berusaha meyakinkan orang lain kelebihan menyokong visi itu yang akan memberi manfaat kepada diri mereka dan generasi masa depan. 

“Bagaimanapun, dalam jangka masa panjang, visi itu akan memberi manfaat kepada rakyat dan yang lebih penting kepada generasi akan datang.

 “Selepas mengenal pasti keperluan, cabaran seterusnya untuk seorang pemimpin adalah merumuskan matlamat ringkas sebelum meyakinkan pengundi mereka untuk menyokongnya,” katanya lagi.  

Frederik merupakan presiden terakhir era apartheid Afrika Selatan.

Beliau sebelum ini bekerjasama dengan Nelson Mandela untuk mengakhiri sistem pemisahan kaum dan mengundang demokrasi pelbagai bangsa juga merupakan penerima Hadiah Nobel Perdamaian pada tahun 1993.  

Mengambil contoh kepimpinan negaranya, Frederik berkata, pada tahun 1980-an, Afrika Selatan dan rakyatnya ‘berada dalam lingkaran keganasan dan penindasan berterusan’.  

"Kami berada di tempat yang salah. Kami mengakui bahawa kami tidak dapat mempertahankan diri secara moral dan oleh itu kami perlu mengubahnya," katanya lagi.  

Forum Yushan dua hari yang bermula Khamis di Taipei.  

Forum tahunan itu dilancarkan pada 2017 untuk mempromosikan status serantau Taiwan dan menyokong usaha kerajaan menjalin hubungan lebih luas dengan negara-negara yang dilindungi di bawah Dasar Baru Southbound.

This article is published on Sinar Online.